Wednesday, May 20, 2009

Tidur tanpa lena.

Sephia terkebil - kebil merenung syiling biliknya tanpa jemu. Puas dia merapatkan kelopak matanya, tetapi usahanya sia - sia. Sephia tahu apa yang mengganggu pemikirannya tatkala itu. Sesekali, hembusan bayu lembut menyelimuti tubuh kecilnya. hembusan bayu malam itu seolah - olah menggamit hatinya untuk menjengah ke luar jendela yang sengaja dibiarkan ternganga sejengkal. Dengan langkah yang perlahan dia menyelak langsir sifon ke kanan dan menolak luas tingkap kacanya dan menjengah keluar. Haruman bunga kemboja menerjah masuk ke rongga nasalnya, memberikan kesegaran baru kepadanya. Dia mendongak ke atas, ditatapnya bintang bintang yang saling berkerdip seolah - olah berbahasa antara satu sama lain.

Ingatannya teralih pada memori silam dan lants perlahan - lahan dia merapatkan kelopak matanya. Dia teringat akan menatap bintang - bintang bertaburan di langit tanpa hujung di bumi Palestin. Dia menjadi sebak. Bau bunga kemboja beransur hanyir seakan - akan bau darah. Tanpa disedari Sephia, dia menitiskan air jernih dari matanya. Diingati wajah kanak - kanak yang tidak henti - henti memanggil nama ibu mereka.

Sephia membuka kelopak matanya. Ingatan itu telah mengingatkan dia agar melakukan solat hajat supaya mereka di sana dapat menikmati secebis kebahagian. Dia lantas melangkah ke bilik air dengan niat mengambil air sembahayang. Dia melihat jam dinding yang gigih berdetik - jam 4.

Monday, January 26, 2009

Terfikir

Sesekali terimbas di riak wajah Sephia yang dia sedang memikirkan sesuatu. Setelah memberitahu kedua ibubapanya tentang Palestine, dia mula menerewang tentang hidupnya yang mendatang. Puas dia cuba untuk tidak memikirkan tentang apa yang akan menunggunya di hadapan garisan kehidupan. Namun dia kecundang dengan tetap terfikir tentang masa hadapan, pekerjaannya dan Ferdi.

Ferdi seorang yang tidak berfikir panjang. Dia lebih suka untuk bertindak apabila sesuatu berlaku. Dia gemar untuk berbelanja dan kemudian menyesal. Sephia sudah tidak dapat menahan perasaan bosannya dengan perangai Ferdi yang satu itu. Ferdi seorang yang besar hati. Dia baik. Tidak pernah dia melakukan sesuatu di luar kemahuan Sephia. Dia tahu Sephia tidak gemar dengan sesetengah perkara yang dilakukannya. Tetapi itu merupakan kemahuannya sendiri. Dia mahu sesuatu untuk dirinya setelah menghabiskan masa sehari di pejabat yang amat membosankan. Hanya internet yang meringankan kepala yang sarat dengan kerja ketika di pejabat. Bila tiba hari gaji, dia mahu berbelanja atas sesuatu yang boleh dipegang, dilihat dan digunakan untuk dirinya sendiri. Bukan seperti Sephia yang terlalu memikir banyak benda tentang kehidupannya.

Memang benar Sephia memikirkan tentang banyak perkara. Dia memikirkan tentang impiannya. Dia ingin memiliki sebuah rumah. Dia ingin memiliki keretanya sendiri. Dia ingin memiliki keluarga bersama Ferdi. Semua yang diimpikan memerlukan perancangan yang teliti. Dia terfikir tentang kerja, bukannya ada rakan sejawatnya yang mahu menghargai apa yang dibuat untuk syarikat.Apa yang Sephia inginkan hanyalah sedikit penghargaan berbentuk perkataan seperti tahniah atau good job dan tidak lebih dari itu. Namun sampai ke tahap ini dia puas dengan apa yang telah dilakukan.

Sephia terus termenung, cuba untuk memikirkan jalan keluar dari situasi ini tanpa mengecewakan sesiapa pun terutama Ferdi dan dirinya sendiri. Sephia terfikir.

Sunday, January 18, 2009

Panggilan

Telefon bimbit Sephia berdering ketika ia terletak di atas meja makan di rumahnya. Sephia berlari anak ketika mendapatkan telefonnya itu. Dilihat Sephia pada skrin paparan telefon bimbitnya - tertera private number. Tanpa berlengah, Sephia mengangkat telefonnya.

"Assalamualaikum," sapa suara di hujung talian.

"Walaikumusalam," Jawab Sephia lembut.

"Boleh saya bercakap dengan Cik Sephia Abdul Azman?"

"Saya bercakap," Debaran hati Sephia mengencang. Dia dapat menjangka sesuatu bakal berlaku.

"Saya call cik dari Humanitarian Alience of Legal Union Society or HALUS. Cik mendaftar untuk menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa Palastine hari itu kan?"

"Ya, saya." Jawab Sephia ringkas.

"Cik mahu menyertai misi kami ke Palastine untuk memberi bantuan kecemasan bersama - sama dengan kumpulan MERCY Malaysia dan Mer-C Indonesia?"

Sephia memberi kata putusnya. Dia tahu tiada siapa yang akan menghalang keputusan itu. Tanpa berlengah dia berlari ke taman mendapatkan kedua ibu bapanya bagi memberitahu mereka tentang keputusannya itu.

Friday, January 16, 2009

Sesalan Sephia

Sephia terduduk di hadapan komputer ribanya, lagi. Dia termangu dengan apa yang sedang dibacanya di skrin komputer ribanya itu. Dia tidak mempercayai apa yang diluahkan Ferdi. Ferdi yang disangka bahu yang boleh menanggung segala luahan Sephia tidak disangka begitu dangkal pengamatannya terhadap perasaan orang lain.

Sephia merenung umur dua tahun perhubungan yang terjalin. Dia sesal dengan segala kesalahan yang telah dilakukannya dan berjanji tidak lagi mengulangi kesalahannya itu. Alhamdullillah, dia tidak lagi melakukan apa yang telah dilakukannya suatu ketika dahulu. Dia percaya bahawa jika dia melakukan apa yang sepatutnya, Ferdi mungkin akan melakukan seperti mana yang dilakukan Sephia. Namun, sekarang, Sephia berbelah bagi. Kalau diikutkan perangainya dahulu, memang sudah lama ditinggal Ferdi. Keadaan bertambah rumit. Ibu mula menyukai kehadiran Sephia dalam hidup mereka.

Sephia kehilangan tenaga untuk membalas kata - kata tajam Ferdi. Dibiarkan sahaja semuanya berlalu. Malas baginya melanjutkan perbalahan hanya kerana kenalan internet Sephia. Jauh dilubuk hati Sephia, dia amat kecewa dengan sikap Ferdi yang pada suatu ketika dahulu dianggapnya sebagai berfikiran terbuka. Tetapi kini, Sephia tidak mengerti apa yang telah mengubah Ferdi. Namun, tiada apa yang mampu dilakukan Sephia kecuali akur dengan keadaan. Dia berjanji lagi kepada dirinya sendiri untuk tidak mengulangi kesalahan yang baru itu tadi.

Sephia sesal.

Thursday, January 15, 2009

Ferdi dan Sephia

Sephia setia kepada kekasihnya Ferdi. Akan tetapi acapkali Sephia meragui Ferdi. Dia tidak tenang jika Ferdi tidak menelefonnya.Sephia tidak meminta banyak hanya perhatian Ferdi sahaja. Sephia kerap kali memakan hati kerana perbuatan - perbuatan Ferdi yang secara tidak langsung menyakitinya. Ferdi pula tidak pernah menyedari yang dia sebenarnya menyakiti Sephia.

Ferdi sayang kepada Sephia. Akan tetapi acapkali Ferdi kecewa dengan Sephia. Dia tidak tenang sekiranhya Sephia melayan emosinya yang agak tidak dapat dijangka. Ferdi kecewa dengan dirinya sendiri yang kadang kala tidak dapat memuaskan hati Sephia. Ferdi juga kadang kala terpaksa bertolak ansur dengan Sephia kerana sifat Sephia yang kepala batu. Sephia juga tidak menyedari dia sebenarnya tidak menyakiti Sephia.

Cinta mereka memang tidak sempurna. Bukanlah kisah dongeng dengan pengakhiran yang indah. Cinta mereka sempurna kerana ketidak sempurnaannya yang menyebabkan mereka belajar banyak hal tentang cinta dan kehidupan.

Tuesday, January 13, 2009

Spaghetti

Sephia terkejut tatkala Ferdi mendakapnya dari belakang. Dia sedang sibuk memasak di dapur dan Ferdi sedang melunsuri internet sebentar tadi. Sephia baru menumis secubit Oregano ke dalam kuali panas dengan 3 sudu minyak masak apabila Ferdi masuk ke dapur. Aroma daun Oregano kering itu amat menyelerakan. Sephia gemar memasak tetapi akibat kekangan beban kerja yang banyak, dia jarang memasak. Pada kebiasaannya, hari minggu merupakan hari memasak bagi Sephia. Hari ini tiada terkecuali. Dia sedang memasak Spaghetti tidak seperti yang selalu dimasak. Hari ini dia menggunakan bawang besar, lobak merah dan batang saderi yang didadu halus. Setelah menumis bahan - bahan tadi, Sephia memasukkan pula daging cincang 400 gram dan apabila daging tadi hampir masak, dia memasukkan pula satu kiub pati ayam. Digaul sehingga rata dan kemudian 2 biji tomato yang dipotong lapan di masukkan pula ke dalam campuran tadi. Apabila tomato itu sudah mula hilang bentuk, Sephia memasukkan pula 4 sudu besar tomato purree. Garam dan lada hitam ditabur. Bersebelahan dengan periuk kuah spagethi itu tadi, air di dalam periuk berasingan sudah mula mendidih. Sephia lantas memasukkan spaghetti "Angel Hair" ke dalam periuk itu dan memasukkan sedikit garam. Sudah siap dengan sos spaghetti itu tadi, Sephia mengangkat spaghetti dan menempatkan ia ke dalam mangkuk hidangan. Ferdi membantu menghidangkan makanan tadi di meja makan. Sephia tersenyum.

Monday, January 12, 2009

Ferdi

Sephia terkesima, terpaku di tempat duduknya. Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa itu semua hanyalah imaginasi yang tak mungkin terjadi. Dia membaca blog Ferdi, kekasih hatinya dengan tanda tanya. Tergetus di hatinya, mungkin ini yang dimahukan Ferdi. Sedari awal dia memang sudah mengetahui bahawa Ferdi memang cenderong ke arah itu tetapi tidak disangka Sephia bahawa ianya akan berlaku begitu pantas sekali. Dia menggeletar, berkerut dahinya. Dia tahu Ferdi memang nekad untuk mengejar impiannya. Dia tidak mampu menghalang. Sephia tahu dia takut akan apa yang bakal terjadi. Lantas, Sephia bangun, diperkemaskan blaus perangnya dari kain sutera hasil tangan Hatta, dengan jeans ketatnya. Dia terus keluar dari kamar pejabatnya dan menuju ke tandas. Dia takut dia tidak mampu menangani apa yang bakal dihadapi berkekasihkan Ferdi, Si Superstar.